Pages

Advertise

BERITA BARU

Thursday, November 3, 2011

SBPA perkenal dasar keluar bagi penjawat awam

KUCHING 25 Okt. — Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dilaksanakan mulai tahun depan bakal menguatkuasakan ‘dasar keluar’ bagi penjawat awam yang berprestasi rendah atau yang ingin bertukar ke agensi lain termasuk swasta. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, buat permulaan dasar itu melibatkan penjawat awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan penilaian dibuat berdasarkan laporan prestasi tahunan serta Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penjawat awam berkenaan.
Kumpulan Pengurusan dan Profesional melibatkan penjawat awam Gred 41 ke atas. "Ia bagus kerana di bawah dasar baru tersebut penjawat awam tidak akan hilang status pencen serta faedah lain yang layak diterima,” katanya kepada Bernama selepas taklimat isu semasa CUEPACS untuk ketua-ketua jabatan dan penjawat awam negeri ini di Bangunan Sultan Iskandar hari ini.
Omar berkata, berbeza dengan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada masa ini yang membenarkan penjawat awam untuk pencen awal pada umur 40 tahun, SBPA membenarkan penjawat awam berbuat demikian lebih awal tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang akan ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Katanya, dasar baru itu memberi ruang kepada penjawat awam untuk bertukar kerjaya sama ada berkhidmat di agensi lain seperti Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau swasta yang sedia ada sekarang. "Dasar ini bagus kerana mungkin penjawat awam tersebut boleh meningkatkan produktiviti di sektor lain yang dirasakan sesuai untuk mereka,” katanya. — Bernama

41 Belia Muflis Setiap Hari Gagal Urus Kewangan

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Seramai 41 belia Malaysia berumur lingkungan 21 hingga 40 tahun dianggarkan menjadi muflis setiap hari akibat kurangnya pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan. Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj berkata, belia merupakan golongan utama menghadapi masalah kewangan dan menjadi muflis berbanding orang dewasa akibat daripada perbelanjaan yang tidak terkawal.
"Antara punca utama adalah kerana urusan sewa beli seperti kereta, rumah dan penggunaan kad kredit.
"Apabila lebih 30 peratus daripada gaji bulanan digunakan untuk membayar hutang, seseorang itu sudah dikira mempunyai masalah kewangan.
"Ini menunjukkan betapa kurangnya kesedaran golongan muda berkaitan pengurusan kewangan mereka dan jika perkara ini dibiarkan, ia akan menjadi lebih teruk," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran program RINGGIT Pertama Saya di sini, hari ini.
Program RINGGIT Pertama Saya adalah kerjasama antara Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna Malaysia (ERA Consumer) dan Citibank Bhd. dalam usaha memupuk kesedaran kanak-kanak berhubung pentingnya pengurusan kewangan. Program ini melibatkan 400 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun dari 20 buah tadika di seluruh negara.
Paul menambah, FOMCA menggesa kerajaan untuk memasukkan pendidikan pengurusan kewangan di dalam sistem persekolahan untuk memberi ilmu bersesuaian kepada kanak-kanak.
"Kita harus mendidik generasi akan datang mengenai pentingnya pengurusan kewangan dan usaha ini sebaiknya dimulakan dari peringkat sekolah lagi," ujarnya.
sumber : Utusan On-line

INOVASI PENTING TINGKATKAN MUTU PERKHIDMATAN - AWANG ADEK

PUTRAJAYA, 1 Nov (Bernama) -- Semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kewangan disaran membudayakan kreativiti dan inovasi untuk membangunkan kemudahan dan teknologi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin Selasa.

Beliau berkata beberapa inovasi telah dilaksanakan di kementerian termasuk Portal Sistem Pinjaman Perumahan Bersepadu (SPPB) yang menyediakan kemudahan pinjaman perumahan Perbendaharaan secara atas talian kepada semua penjawat awam.Selain itu, beliau berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut melaksanakan inovasi lain seperti Sistem e-penempatan JKDM, Sistem e-Kereta, Sistem e-Penyata dan e-Laporan, Sistem Maklumat Pengurusan Cukai (SMPC)."Antara sistem ini, terdapat juga sistem yang dibangunkan secara in-house iaitu oleh kakitangan dalam kementerian yang inovatif."

Sehubungan itu, kementerian akan terus memberi penekanan agar lebih ramai terus mencari idea bagi melaksanakan inovasi dalam bekerja dan inovasi dalam sistem yang digunakan untuk meningatkan mutu perkhidmatan dan memanfaatkan pelanggan dan pengguna," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi Kementerian Kewangan di sini hari ini.Untuk memupuk budaya inovasi di kalangan kakitangan kementerian, Awang Adek berkata sistem ganjaran diperkenalkan dengan memberi bonus dan ganjaran kepada kakitangan yang berjaya menghasilkan inovasi perkhidmatan.Terdahulu dalam ucapannya, Awang Adek menyeru semua kakitangan kementerian agar menjadikan tahun Gerakan Inovasi Nasional sebagai landasan untuk mengamal dan membudayakan kreativiti dan inovasi.-- BERNAMA

Tuesday, November 1, 2011

Tragedi Letupan Besar Kereta Api Langgar Lori Tangki Di Kota Kinabalu

Sebuah kereta api berlanggar dengan sebuah lori tangki minyak menyebabkan letupan besar dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, petang Isnin.Tiada kematian dilaporkan, namun setakat ini sembilan cedera dalam letupan besar akibat pelanggaran antara kereta api dengan sebuah lori tangki minyak di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini petang Isnin. Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib memberitahu pemberita di tempat kejadian penumpang-penumpang lain dalam kereta api itu sama ada berjaya menyelamatkan diri ketika pelanggaran berlaku kira-kira 5.30 ptg atau mereka diselamatkan bila anggota bomba tiba.

Monday, October 31, 2011

NEGERI SEMBILAN JUARA PIALA MALAYSIA 2011

NEGERI SEMBILAN kembali ditabalkan selaku juara Piala Malaysia. Kemenangan 2-1 ke atas Terengganu pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi membolehkan skuad Hoben Jang Hoben kembali menjulang piala berprestij itu. Ia merupakan kejayaan ketiga Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia selepas edisi 1948 dan 2009.
Bagi Terengganu pula, skuad Peteh itu gagal mengulangi pencapaian sedekad yang lalu dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia. Kekalahan itu juga sekali gus menyebabkan Terengganu gagal dalam misi merangkul gelaran berganda musim ini selepas mereka muncul juara Piala FA pada Jun lalu. Pada aksi malam tadi, kedua-dua pasukan dilihat menampilkan corak permainan seimbang sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.
Selepas gagal memecahkan kebuntuan gol pada babak pertama, Terengganu terlebih dahulu menceriakan kira-kira 35,000 penyokong skuad Penyu yang hadir menyaksikan aksi final di stadium.Pemain sayap, Mohd. Ashaari Samsudin berjaya menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Marlias untuk gol pertama Terengganu pada minit ke-59. Tersentak dengan jaringan itu, Negeri Sembilan bingkas bangkit menguasai perlawanan bagi memburu gol penyamaan.



Tuesday, October 25, 2011

Kereta Paling Mahal Di Dunia : 8Juta USD

GAMBAR-GAMBAR : GEMPABUMI TURKI

DUNIA: GEMPA BUMI DI TURKI

Pasukan mencari dan menyelamat cuba mencari mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan di Ercis, timur Turki pada awal pagi Isnin. Kira-kira 100 disahkan terbunuh dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.2 magnitud yang melanda negara tersebut pada Ahad. -Foto REUTERS.
ANKARA: Panik dan ketakutan menyelubungi mangsa ketika gempa 7.2 magnitud di timur Turki mengorbankan 138 orang apabila banyak bangunan runtuh.
Angka korban dijangka meningkat ketika anggota penyelamat giat mencari mangsa di bawah runtuhan dan tiba di kawasan perkampungan.
Puluhan ribu orang meluru keluar ke jalan raya untuk menyelamatkan diri sambil menjerit atau cuba menghubungi sanak saudara menerusi telefon ketika bangunan pejabat kediaman retak atau runtuh.
"Ramai terperangkap di bawah runtuhan. Mereka sedang menderita," kata Datuk Bandar Daerah Celebibag, Veysel Keser.
Celebibag terletak berhampiran kawasan paling turuk dilanda bencana itu, Ercis, berhampiran sempadan Ran dan antara zon gempa bumi.
Gempa bumi itu melanda pada 1.41 petang (1041 GMT). – AP

Monday, October 24, 2011

Marco Simoncelli maut dalam kemalangan ketika saingan bagi kelas MotoGP



Gambar kombinasi menunjukkan urutan (atas ke bawah, kiri ke kanan) Marco Simoncelli (pakaian putih) ketika terlibat dalam kemalangan membabitkan pelumba Yamaha Colin Edwards dan pelumba Ducatis Valentino Rossi di Litar Sepang hari ini. – Foto Reuters

ADA cerita suka duka mewarnai perlumbaan MotoGP Malaysia di Litar Sepang semalam.
Paling menyayat hati apabila pelumba Itali, Marco Simoncelli maut dalam kemalangan ketika saingan bagi kelas MotoGP baru memasuki pusingan kedua. Insiden kemalangan itu berlaku apabila Simoncelli yang terjatuh di selekoh ke-11 akibat hilang keseimbangan badan, dirempuh dua pelumba lain - Colin Edwards dan Valentino Rossi.
Akibatnya, topi keledar yang dipakai Simoncelli pecah sehingga mendatangkan kecederaan parah di bahagian kepala, tengkuk dan dadanya. Sejurus selepas insiden tersebut, pihak penganjur, Sepang International Circuit (SIC) dan Dorna Sports iaitu pemegang hak perlumbaan MotoGP membatalkan perlumbaan serta merta.
“Kami dari warga SIC amat kesal dengan insiden itu dan ini merupakan kejadian yang pertama kali berlaku di Litar Sepang dan ia diluar jangkaan oleh pihak kami,” kata Pengerusi SIC, Datuk Mokhzani Mahathir semalam.Kemalangan maut yang melibatkan Simoncelli itu merupakan kes ke-14 dalam perlumbaan tersebut sejak tahun 1980. Sumber :Utusan Malaysia

Friday, October 21, 2011

PENDAFTARAN ISI RUMAH BERPENDAPATAN BAWAH RM3,000 BERMULA DISEMBER INI

KANGAR, 20 Okt (Bernama) -- Pendaftaran isi rumah yang berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 bagi melayakkan mereka menerima bantuan RM500 melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dijadualkan bermula Disember ini.Pengerusi LHDN Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah berkata buat masa ini Kementerian Kewangan serta agensi kerajaan berkaitan sedang memuktamadkan mekanisme terbaik bagi pendaftaran dan pelaksanaan bantuan itu."LHDN perlu memastikan segala keperluan sistem, peralatan dan tenaga kerja yang mencukupi disiapkan selewatnya pertengahan November ini bagi membolehkan pendaftaran bermula pada Disember," katanya kepada media selepas perasmian Wisma Hasil Kangar, di sini hari ini.

Wan Abdul Aziz berkata sebanyak 3.4 juta isi rumah dijangka didaftarkan dan mereka dijadual menerima bantuan tersebut yang membabitkan peruntukan RM1.8 bilion bermula Januari depan.Bantuan di bawah inisiatif meringankan kos sara hidup itu akan turut dinikmati penjawat awam yang berpendapatan rendah, katanya.Sementara itu, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu ketika merasmikan Wisma Hasil Kangar setinggi enam tingkat itu berharap premis itu bukan saja dapat memberi keselesaan kepada pelanggan tetapi juga kepada 83 petugasnya.Bangunan berharga RM25.5 juta itu mula dibina pada 5 Mei 2006 dan siap sepenuhnya pada 15 Mei 2008, bagaimanapun LDHN hanya memulakan operasinya di bangunan baru tersebut pada 25 Nov lepas.Md Isa juga menyifatkan Wisma Hasil Kangar itu sebagai simbol pertumbuhan LHDN kerana sebelum ini agensi tersebut beroperasi selama 21 tahun dengan menyewa di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.Pada majlis itu, Menteri Besar turut melancarkan lagu rasmi baru LHDN bertajuk "Hasil Berjasa" menggantikan lagu "Nada Hasil".-- BERNAMA