Pages

Advertise

BERITA BARU

Friday, December 9, 2011

Penjawat awam tetap akan diutamakan dlm SBPA

PUTRAJAYA 7 Dis. – Penjawat awam tetap akan diutamakan untuk mengisi jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan termasuk Kumpulan Premier, walaupun terdapat dasar membenarkan “orang luar” mengisi jawatan tersebut dalam skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan mula dikuatkuasakan Januari depan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, penilaian akan dibuat terhadap penjawat awam yang layak mengisi kekosongan itu terlebih dahulu dan calon luar hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada calon dari kalangan penjawat awam yang layak untuk memegang jawatan itu.
“Penjawat awam jangan risau tentang perkara ini, sebab ini hanyalah persediaan. Kalau kita tak sediakan peruntukan ini sekarang dan kalau keperluan timbul nanti, waktu itulah baru kita nak buat pindaan dan sebagainya tentulah tak elok.
Setiap skim yang kita laksanakan bukan saja untuk mengatasi masalah sedia ada tapi juga melihat kemungkinan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa dalam skim baharu ini, jawatan premier perkhidmatan awam, peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Turus akan diubah suai bagi membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil masuk.
Bagaimanapun, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) membantah dasar tersebut, mengatakan ia seperti menganaktirikan penjawat awam sedia ada yang telah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang tertentu.
Abu Bakar berkata, bakat dari luar itu turut perlu melalui proses sepertimana pegawai dalaman termasuk saringan dan penilaian oleh satu panel yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Audit Negara.
“Jadi dia akan dinilai keupayaannya dari segi pengetahuan peraturan-peraturan perkhidmatan, kewangan, pengauditan dan sebagainya yang bermakna dia perlu cekap tentang urusan pentadbiran kerajaan dan dicampur dengan keupayaan dan pengalamannya berkhidmat di luar perkhidmatan awam barulah diberi pertimbangan,” katanya.
Setakat ini tiada kuota spesifik ditetapkan untuk pengambilan tersebut, namun menjangka keperluannya tidak akan melebihi 20 peratus daripada jumlah jawatan yang ada, katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, untuk urusan spesifik jangka pendek, seperti untuk menyertai kumpulan perundingan kedudukan negara dalam ekonomi, mereka yang tidak berada dalam perkhidmatan awam boleh diambil bekerja secara kontrak.
Dalam pada itu, Abu Bakar berkata SBPA bukanlah bertujuan untuk mengurangkan penjawat awam, tetapi bagi memastikan tenaga kerja dalam sektor awam itu dapat dikawal mengikut keperluan.
Beliau berkata, tahun ini sehingga hari ini sahaja sejumlah 29,000 jawatan dalam perkhidmatan awam dimansuhkan dalam usaha tadbir urus perkhidmatan awam yang lebih baik.
“Sebagai contoh, dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah, kita mengambil 7,000 anggota polis yang selama ini berkhidmat di ibu pejabat dan balai, dipindahkan membuat kerja kawalan keselamatan awam dan tempat mereka ini digantikan dengan 4,200 penjawat awam dari agensi kerajaan lain,” katanya. – BERNAMA

Monday, December 5, 2011

1.4 JUTA NIKMATI FAEDAH

TEMERLOH 3 Dis. - Kira-kira 1.4 juta kakitangan awam bakal menikmati pelbagai faedah dan insentif menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman) berkata, skim baharu itu akan menyaksikan beberapa perubahan seperti skim pencen, gaji dan elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.
Menurutnya, berbanding Skim Saraan Malaysia (SSM), penjawat awam yang dilantik selepas 1991 diwajibkan berkhidmat sehingga berusia 58 tahun, tetapi dalam SBPA pula syarat itu dimansuhkan yang mana semua penjawat awam boleh membuat pencen pilihan masing-masing.
"Sebelum ini kakitangan awam yang mula berkhidmat sebelum 1991 sahaja diberi kelonggaran memilih untuk bersara sama ada pada usia 56 atau 58 tahun, manakala perkhidmatan selepas 1991 diwajibkan berkhidmat dan bersara pada usia 58 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Pahang Bersama CUEPACS di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh di sini, hari ini.
Omar memberitahu, prospek perjawatan turut membuka ruang kepada penjawat awam untuk kenaikan pangkat tanpa menunggu kekosongan jawatan.
Menurutnya, mereka perlu memenuhi beberapa kriteria seperti prestasi kerja efisien dan aktif dalam tugas yang diamanahkan.
Katanya, selain menikmati gaji baharu, cara bekerja turut berubah dan perubahan itu selari dengan kehendak semasa sebagai pelaksana dasar kerajaan.
"Penyelarasan baharu ini membuktikan kerajaan prihatin terhadap kebajikan penjawat awam sekali gus satu transformasi perkhidmatan awam di negara ini," katanya.


Utusan Malaysia

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

utusanpahang@utusan.com.my3/12/2011

Tuesday, November 22, 2011

JUARA BOLASEPAK SUKAN SEA





Skuad bawah 23 tahun (B23) Malaysia bangkit daripada ketinggalan seawal minit kelima untuk membenam Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada perlawanan akhir acara bola sepak Sukan Sea 2011 yang panas dan mendebarkan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam tadi.Sorakan dan provokasi yang dilaungkan lebih 100,000 penyokong fanatik skuad Garuda di stadium itu tidak sedikit pun melemahkan semangat anak buah jurulatih Ong Kim Swee, Kapten pasukan Malaysia.Badrol Bakthiar menjadi wira Harimau Muda selepas menjaringkan sepakan penalti terakhir dalam perlawanan tersebut yang meremukkan hati berjuta-juta rakyat Indonesia.



Syabas Malaysia!Tiada apa yang lebih sempurna daripada merangkul pingat emas Sukan SEA; ‘ibu’ kepada segala pingat sebagai penutup tirai temasya kali ke XXVI buat kontinjen Malaysia.Setelah berjuang habis-habisan di Stadium Gelora Bung Karno untuk lebih dua jam, skuad Harimau Muda kebanggaan kita memakbulkan harapan setiap rakyat Malaysia yang menyaksikan kelibat mereka di kaca televisyen malam tadi.Tidak mengapa kita ketinggalan pada awal permainan.Wira-wira kita tidak mengalah, sebaliknya mereka bangkit dengan segera untuk menyamakan kedudukan dan seterusnya mengawal permainan, sekali gus membuatkan kira-kira 100,000 penyokong fanatik tuan rumah terdiam.Bermula dari saat itu, perlawanan berlangsung agak seimbang menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari gol pada waktu sebenar permainan, malah 30 minit tambahan pun tidak berkesudahan.


Setiap kali penjaga gol sensasi kita, Khairul Fahmi Che Mat diperlukan, dia tidak pernah mengecewakan dan semalam dia membuktikan keupayaannya sekali lagi, komitmen yang sering kali ditunjukkannya apabila dengan tenang menyelamatkan sepakan penalti Ferdinan Sinaga.Dan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar; salah seorang anggota skuad yang menjuarai temasya Vientianne dua tahun lalu melaksanakan tugasnya untuk mempertahankan pingat emas buat kali pertama sejak 1979 yang mana ketika itu turut dilakar di Jakarta.syabas diucapkan!- SUMBER UTUSAN

Tuesday, November 15, 2011

Tokoh Pekerja Bagi Tahun 2011 Kategori Skim W

PUAN HAJJAH SHARIFAH FATIMAH BINTI SYED MOHAMAD

Penolong Akauntan Gred W32
Cawangan Audit Pertubuhan LPP Negeri Selangor

Sempena Mesyuarat Agung bersama Kesatuan Dalaman LPP Tahun 2011 pada 10hb November 2011 di Hotel Regency Kuala Lumpur .

Thursday, November 3, 2011

SBPA perkenal dasar keluar bagi penjawat awam

KUCHING 25 Okt. — Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dilaksanakan mulai tahun depan bakal menguatkuasakan ‘dasar keluar’ bagi penjawat awam yang berprestasi rendah atau yang ingin bertukar ke agensi lain termasuk swasta. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, buat permulaan dasar itu melibatkan penjawat awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan penilaian dibuat berdasarkan laporan prestasi tahunan serta Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penjawat awam berkenaan.
Kumpulan Pengurusan dan Profesional melibatkan penjawat awam Gred 41 ke atas. "Ia bagus kerana di bawah dasar baru tersebut penjawat awam tidak akan hilang status pencen serta faedah lain yang layak diterima,” katanya kepada Bernama selepas taklimat isu semasa CUEPACS untuk ketua-ketua jabatan dan penjawat awam negeri ini di Bangunan Sultan Iskandar hari ini.
Omar berkata, berbeza dengan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada masa ini yang membenarkan penjawat awam untuk pencen awal pada umur 40 tahun, SBPA membenarkan penjawat awam berbuat demikian lebih awal tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang akan ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Katanya, dasar baru itu memberi ruang kepada penjawat awam untuk bertukar kerjaya sama ada berkhidmat di agensi lain seperti Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau swasta yang sedia ada sekarang. "Dasar ini bagus kerana mungkin penjawat awam tersebut boleh meningkatkan produktiviti di sektor lain yang dirasakan sesuai untuk mereka,” katanya. — Bernama

41 Belia Muflis Setiap Hari Gagal Urus Kewangan

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Seramai 41 belia Malaysia berumur lingkungan 21 hingga 40 tahun dianggarkan menjadi muflis setiap hari akibat kurangnya pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan. Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj berkata, belia merupakan golongan utama menghadapi masalah kewangan dan menjadi muflis berbanding orang dewasa akibat daripada perbelanjaan yang tidak terkawal.
"Antara punca utama adalah kerana urusan sewa beli seperti kereta, rumah dan penggunaan kad kredit.
"Apabila lebih 30 peratus daripada gaji bulanan digunakan untuk membayar hutang, seseorang itu sudah dikira mempunyai masalah kewangan.
"Ini menunjukkan betapa kurangnya kesedaran golongan muda berkaitan pengurusan kewangan mereka dan jika perkara ini dibiarkan, ia akan menjadi lebih teruk," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran program RINGGIT Pertama Saya di sini, hari ini.
Program RINGGIT Pertama Saya adalah kerjasama antara Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna Malaysia (ERA Consumer) dan Citibank Bhd. dalam usaha memupuk kesedaran kanak-kanak berhubung pentingnya pengurusan kewangan. Program ini melibatkan 400 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun dari 20 buah tadika di seluruh negara.
Paul menambah, FOMCA menggesa kerajaan untuk memasukkan pendidikan pengurusan kewangan di dalam sistem persekolahan untuk memberi ilmu bersesuaian kepada kanak-kanak.
"Kita harus mendidik generasi akan datang mengenai pentingnya pengurusan kewangan dan usaha ini sebaiknya dimulakan dari peringkat sekolah lagi," ujarnya.
sumber : Utusan On-line

INOVASI PENTING TINGKATKAN MUTU PERKHIDMATAN - AWANG ADEK

PUTRAJAYA, 1 Nov (Bernama) -- Semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kewangan disaran membudayakan kreativiti dan inovasi untuk membangunkan kemudahan dan teknologi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin Selasa.

Beliau berkata beberapa inovasi telah dilaksanakan di kementerian termasuk Portal Sistem Pinjaman Perumahan Bersepadu (SPPB) yang menyediakan kemudahan pinjaman perumahan Perbendaharaan secara atas talian kepada semua penjawat awam.Selain itu, beliau berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut melaksanakan inovasi lain seperti Sistem e-penempatan JKDM, Sistem e-Kereta, Sistem e-Penyata dan e-Laporan, Sistem Maklumat Pengurusan Cukai (SMPC)."Antara sistem ini, terdapat juga sistem yang dibangunkan secara in-house iaitu oleh kakitangan dalam kementerian yang inovatif."

Sehubungan itu, kementerian akan terus memberi penekanan agar lebih ramai terus mencari idea bagi melaksanakan inovasi dalam bekerja dan inovasi dalam sistem yang digunakan untuk meningatkan mutu perkhidmatan dan memanfaatkan pelanggan dan pengguna," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi Kementerian Kewangan di sini hari ini.Untuk memupuk budaya inovasi di kalangan kakitangan kementerian, Awang Adek berkata sistem ganjaran diperkenalkan dengan memberi bonus dan ganjaran kepada kakitangan yang berjaya menghasilkan inovasi perkhidmatan.Terdahulu dalam ucapannya, Awang Adek menyeru semua kakitangan kementerian agar menjadikan tahun Gerakan Inovasi Nasional sebagai landasan untuk mengamal dan membudayakan kreativiti dan inovasi.-- BERNAMA

Tuesday, November 1, 2011

Tragedi Letupan Besar Kereta Api Langgar Lori Tangki Di Kota Kinabalu

Sebuah kereta api berlanggar dengan sebuah lori tangki minyak menyebabkan letupan besar dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, petang Isnin.Tiada kematian dilaporkan, namun setakat ini sembilan cedera dalam letupan besar akibat pelanggaran antara kereta api dengan sebuah lori tangki minyak di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini petang Isnin. Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib memberitahu pemberita di tempat kejadian penumpang-penumpang lain dalam kereta api itu sama ada berjaya menyelamatkan diri ketika pelanggaran berlaku kira-kira 5.30 ptg atau mereka diselamatkan bila anggota bomba tiba.

Monday, October 31, 2011

NEGERI SEMBILAN JUARA PIALA MALAYSIA 2011

NEGERI SEMBILAN kembali ditabalkan selaku juara Piala Malaysia. Kemenangan 2-1 ke atas Terengganu pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi membolehkan skuad Hoben Jang Hoben kembali menjulang piala berprestij itu. Ia merupakan kejayaan ketiga Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia selepas edisi 1948 dan 2009.
Bagi Terengganu pula, skuad Peteh itu gagal mengulangi pencapaian sedekad yang lalu dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia. Kekalahan itu juga sekali gus menyebabkan Terengganu gagal dalam misi merangkul gelaran berganda musim ini selepas mereka muncul juara Piala FA pada Jun lalu. Pada aksi malam tadi, kedua-dua pasukan dilihat menampilkan corak permainan seimbang sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.
Selepas gagal memecahkan kebuntuan gol pada babak pertama, Terengganu terlebih dahulu menceriakan kira-kira 35,000 penyokong skuad Penyu yang hadir menyaksikan aksi final di stadium.Pemain sayap, Mohd. Ashaari Samsudin berjaya menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Marlias untuk gol pertama Terengganu pada minit ke-59. Tersentak dengan jaringan itu, Negeri Sembilan bingkas bangkit menguasai perlawanan bagi memburu gol penyamaan.