Pages

Advertise

BERITA BARU

Thursday, October 13, 2011

Banjir Di Thailand Semakin Buruk

BANGKOK: Banjir di Thailand semakin teruk hingga menyebabkan lebih 1,200 kilang digenangi air dan sebuah hospital di Ayutthaya terpaksa ditutup, manakala jumlah kematian pula meningkat kepada 244 pada Khamis.
Kementerian Industri berkata sesetengah kilang di wilayah utara, timur laut dan tengah negara ini mungkin terpaksa menggantung pengeluaran selama tiga bulan akibat bencana alam itu.
Lebih 40,000 pekerja terjejas, kata Jabatan Tenaga Kerja dan Kebajikan.
Menteri Kesihatan Awam Witthaya Buranasiri berkata Hospital Bang Phra Khun di Ayutthaya ditutup sementara akibat banjir dan pesakit di situ dipindahkan ke hospital lain.
Pengarah Jabatan Pencegahan dan Kawalan Bencana Wibul Sanguanpong berkata banjir yang melanda negara ini sejak Julai menjejaskan kehidupan 2.6 juta orang dari 201 daerah di 28 wilayah.
Bencana alam itu juga menyebabkan tiga orang hilang setakat ini.
Sebelas daripada 26 empangan utama di negara ini menakung air lebih daripada kemampuannya, manakala air di beberapa empangan lain hampir penuh, kata Jabatan Pengairan Diraja.
Penjara Pusat Ayutthaya pula digenangi air sedalam kira-kira dua meter dan menyebabkan penghuninya terpaksa dipindahkan ke penjara lain.
Jabatan Korektif berkata kira-kira 600 banduan dipindahkan ke penjara lain hari ini, manakala bakinya lebih kurang seramai 1,100 orang akan dipindahkan kemudian.
Nongporn Pienuan, 72, pemilik kedai runcit dan restoran di sini berkata banjir kali ini menyebabkan perniagaannya terjejas teruk.
Kata peniaga ini dua kedainya terpaksa ditutup sepanjang minggu lepas, manakala kedai runcitnya di Tatien Pier di tebing Sungai Chao Phraya hanya boleh dibuka semula, Khamis.
"Biasanya saya boleh meraih keuntungan 3,000 Baht hingga 4,000 Bahat (kira-kira RM300 hingga RM400) sehari melalui jualan makanan dan minuman, tapi hari ini, saya rasa saya cukup bernasib baik kalau dapat meraih 300 Baht (kira-kira RM30)," katanya. BERNAMA