Pages

Advertise

BERITA BARU

Monday, December 5, 2011

1.4 JUTA NIKMATI FAEDAH

TEMERLOH 3 Dis. - Kira-kira 1.4 juta kakitangan awam bakal menikmati pelbagai faedah dan insentif menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman) berkata, skim baharu itu akan menyaksikan beberapa perubahan seperti skim pencen, gaji dan elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.
Menurutnya, berbanding Skim Saraan Malaysia (SSM), penjawat awam yang dilantik selepas 1991 diwajibkan berkhidmat sehingga berusia 58 tahun, tetapi dalam SBPA pula syarat itu dimansuhkan yang mana semua penjawat awam boleh membuat pencen pilihan masing-masing.
"Sebelum ini kakitangan awam yang mula berkhidmat sebelum 1991 sahaja diberi kelonggaran memilih untuk bersara sama ada pada usia 56 atau 58 tahun, manakala perkhidmatan selepas 1991 diwajibkan berkhidmat dan bersara pada usia 58 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Pahang Bersama CUEPACS di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh di sini, hari ini.
Omar memberitahu, prospek perjawatan turut membuka ruang kepada penjawat awam untuk kenaikan pangkat tanpa menunggu kekosongan jawatan.
Menurutnya, mereka perlu memenuhi beberapa kriteria seperti prestasi kerja efisien dan aktif dalam tugas yang diamanahkan.
Katanya, selain menikmati gaji baharu, cara bekerja turut berubah dan perubahan itu selari dengan kehendak semasa sebagai pelaksana dasar kerajaan.
"Penyelarasan baharu ini membuktikan kerajaan prihatin terhadap kebajikan penjawat awam sekali gus satu transformasi perkhidmatan awam di negara ini," katanya.


Utusan Malaysia

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

utusanpahang@utusan.com.my3/12/2011