Pages

Advertise

BERITA BARU

Thursday, November 3, 2011

SBPA perkenal dasar keluar bagi penjawat awam

KUCHING 25 Okt. — Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dilaksanakan mulai tahun depan bakal menguatkuasakan ‘dasar keluar’ bagi penjawat awam yang berprestasi rendah atau yang ingin bertukar ke agensi lain termasuk swasta. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, buat permulaan dasar itu melibatkan penjawat awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan penilaian dibuat berdasarkan laporan prestasi tahunan serta Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penjawat awam berkenaan.
Kumpulan Pengurusan dan Profesional melibatkan penjawat awam Gred 41 ke atas. "Ia bagus kerana di bawah dasar baru tersebut penjawat awam tidak akan hilang status pencen serta faedah lain yang layak diterima,” katanya kepada Bernama selepas taklimat isu semasa CUEPACS untuk ketua-ketua jabatan dan penjawat awam negeri ini di Bangunan Sultan Iskandar hari ini.
Omar berkata, berbeza dengan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada masa ini yang membenarkan penjawat awam untuk pencen awal pada umur 40 tahun, SBPA membenarkan penjawat awam berbuat demikian lebih awal tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang akan ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Katanya, dasar baru itu memberi ruang kepada penjawat awam untuk bertukar kerjaya sama ada berkhidmat di agensi lain seperti Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau swasta yang sedia ada sekarang. "Dasar ini bagus kerana mungkin penjawat awam tersebut boleh meningkatkan produktiviti di sektor lain yang dirasakan sesuai untuk mereka,” katanya. — Bernama

41 Belia Muflis Setiap Hari Gagal Urus Kewangan

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Seramai 41 belia Malaysia berumur lingkungan 21 hingga 40 tahun dianggarkan menjadi muflis setiap hari akibat kurangnya pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan. Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj berkata, belia merupakan golongan utama menghadapi masalah kewangan dan menjadi muflis berbanding orang dewasa akibat daripada perbelanjaan yang tidak terkawal.
"Antara punca utama adalah kerana urusan sewa beli seperti kereta, rumah dan penggunaan kad kredit.
"Apabila lebih 30 peratus daripada gaji bulanan digunakan untuk membayar hutang, seseorang itu sudah dikira mempunyai masalah kewangan.
"Ini menunjukkan betapa kurangnya kesedaran golongan muda berkaitan pengurusan kewangan mereka dan jika perkara ini dibiarkan, ia akan menjadi lebih teruk," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran program RINGGIT Pertama Saya di sini, hari ini.
Program RINGGIT Pertama Saya adalah kerjasama antara Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna Malaysia (ERA Consumer) dan Citibank Bhd. dalam usaha memupuk kesedaran kanak-kanak berhubung pentingnya pengurusan kewangan. Program ini melibatkan 400 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun dari 20 buah tadika di seluruh negara.
Paul menambah, FOMCA menggesa kerajaan untuk memasukkan pendidikan pengurusan kewangan di dalam sistem persekolahan untuk memberi ilmu bersesuaian kepada kanak-kanak.
"Kita harus mendidik generasi akan datang mengenai pentingnya pengurusan kewangan dan usaha ini sebaiknya dimulakan dari peringkat sekolah lagi," ujarnya.
sumber : Utusan On-line

INOVASI PENTING TINGKATKAN MUTU PERKHIDMATAN - AWANG ADEK

PUTRAJAYA, 1 Nov (Bernama) -- Semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kewangan disaran membudayakan kreativiti dan inovasi untuk membangunkan kemudahan dan teknologi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin Selasa.

Beliau berkata beberapa inovasi telah dilaksanakan di kementerian termasuk Portal Sistem Pinjaman Perumahan Bersepadu (SPPB) yang menyediakan kemudahan pinjaman perumahan Perbendaharaan secara atas talian kepada semua penjawat awam.Selain itu, beliau berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut melaksanakan inovasi lain seperti Sistem e-penempatan JKDM, Sistem e-Kereta, Sistem e-Penyata dan e-Laporan, Sistem Maklumat Pengurusan Cukai (SMPC)."Antara sistem ini, terdapat juga sistem yang dibangunkan secara in-house iaitu oleh kakitangan dalam kementerian yang inovatif."

Sehubungan itu, kementerian akan terus memberi penekanan agar lebih ramai terus mencari idea bagi melaksanakan inovasi dalam bekerja dan inovasi dalam sistem yang digunakan untuk meningatkan mutu perkhidmatan dan memanfaatkan pelanggan dan pengguna," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi Kementerian Kewangan di sini hari ini.Untuk memupuk budaya inovasi di kalangan kakitangan kementerian, Awang Adek berkata sistem ganjaran diperkenalkan dengan memberi bonus dan ganjaran kepada kakitangan yang berjaya menghasilkan inovasi perkhidmatan.Terdahulu dalam ucapannya, Awang Adek menyeru semua kakitangan kementerian agar menjadikan tahun Gerakan Inovasi Nasional sebagai landasan untuk mengamal dan membudayakan kreativiti dan inovasi.-- BERNAMA