Pages

Advertise

BERITA BARU

Thursday, September 20, 2012

BELANJAWAN: PENJAWAT AWAM SEDIA KERJA LEBIH WAKTU JIKA TUNTUTAN DIPENUHI

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata lebih 1.4 juta penjawat awam sedia bekerja lebih masa jika 70 peratus daripada enam cadangannya dilulus kerajaan dalam Belanjawan 2013.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata penjawat awam akan bekerja lebih masa selama 30 minit tanpa ganjaran jika tuntutan mereka termasuk penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) diterima kerajaan.

"Cuepacs akan pastikan penjawat awam akan melakukan satu perubahan drastik dari segi budaya bekerja, kalau boleh kita datang 15 minit awal dan balik lewat 15 minit yang merupakan komitmen daripada penjawat awam bagi menghargai jasa kerajaan meluluskan tuntutan tersebut," katanya kepada pemberita Rabu.

Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Cuepacs ke-9 di sini, berkata penjawat awam masih menunggu perubahan dan penambahbaikan ke atas SSM setelah diumumkan pada 8 Mac lepas, susulan pembatalan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam.

Tuntutan lain ialah penyelesaian isu tangga gaji maksimum yang tidak selaras dengan kenaikan gaji tahunan; projek perumahan di bawah harga RM135,000 dalam kawasan bandar; menaikkan imbuhan tetap perumahan; kedudukan status 45,000 penjawat awam berstatus kontrak; bonus dua bulan gaji dan mengkaji semula pemansuhan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) di peringkat pusat.

-- BERNAMA